Pelancaran 5G dipercepat hujung tahun ini, setahun lebih awal

CYBERJAYA: Rangkaian 4G terus dimantapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 agar spektrumnya dapat dimanfaatkan oleh khidmat rangkaian 4G.

What Is 5G?

SKMM dalam satu kenyataan berkata, dengan langkah tersebut, secara tidak langsung dapat mempercepatkan pelancaran 5G pada penghujung tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada rancangan asal untuk menyokong penghantaran data pantas.

Menurut SKMM, pihaknya bersama agensi kerajaan akan meneruskan usaha mewujudkan ekosistem terhadap usaha pusat data (data centre) yang menawarkan kepakaran khusus dan perkhidmatan pengkomputeran awan (cloud services) berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan para pengguna.

“Selain itu, 12 Internet Exchange Point (IXP) yang sedia ada akan ditambah kepada 66 pada tahun 2025.

“IXP memastikan pertukaran trafik internet antara penyedia perkhidmatan lancar dan rangkaian penghantaran kandungan menjadi lebih pantas, mengurangkan keperluan transit huluan data (upstream data), lantas mengurangkan kos hantaran,” katanya.

SKMM berkata, untuk mengukuhkan ekonomi digital setempat bagi semua lapisan rakyat, terutamanya untuk golongan B40, 873 Pusat Internet Komuniti kini ditransformasi menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

“Bilangan ini akan ditingkatkan dengan sasaran ‘1 PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri’. PEDi berperanan memperkasakan aktiviti ekonomi digital dengan membangunkan kemahiran penggunaan Internet serta meningkatkan penglibatan e-dagang,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM akan terus mempergiatkan program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bagi mendorong usahawan mikro beralih kepada pendigitalan sekali gus memanfaatkan 800,000 usahawan mikro menjelang tahun 2025.

Jelas SKMM, untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Malaysia sudah pun berada di landasan tepat dengan pelaksanaan Pelan JENDELA yang buat masa kini mencapai sasaran pencapaian pada setiap suku sejak September 2020.

“Kesalinganhubungan menyeluruh serta teknologi 5G mampu mengubah trajektori ekonomi digital negara dan mencetuskan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang akan menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025,” katanya.

Sumber: utusan.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*