Kisah Seram Kuaters Tentera, Perempuan Tua Mencangkung Atas Tembok Jam 3 Pagi

Kisah Seram Kuaters Tentera, Perempuan Tua Mencangkung Atas Tembok Jam 3 Pagi

Artikel ini diolah & diterbitkan dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi mereka yang balik ke rumah lewat malam lepas habis waktu kerja, mesti pernah rasa macam-macam pengalaman seram kan? Tak kisahlah pukul berapa pun, tapi ‘benda’ tu tetap ada menunggu kita.

Ada yang pernah diganggu semasa kat tempat kerja (orang terakhir yang tinggal). Ada yang kena kacau semasa dalam perjalanan. Ada juga yang ternampak kelibat ‘benda’ tu betul-betul kat depan rumah masa baru sampai. Banyak lagilah.

Kisah seram yang SK nak kongsi malam ni adalah pengalaman sebenar seorang individu yang dikenali sebagai Asri. Kisahnya, beliau baru pulang dari kerja lewat malam. Badan penat, kepala memang fikir nak rehat.

Tapi tiba-tiba, ada ternampak sesuatu pulak kat depan rumah. Haih..waktu tulah dia nak muncul. Haa nak tahu apa kisahnya, jom ikuti perkongsian kisah benar dari Asri kat bawah ni. Selamat membaca!

**nota: hati-hati, bukan anda sorang je kat bilik tu..

Perempuan tua bertenggek atas tembok

Assalamualaikum sahabat & geng KCHM, semoga sihat dan diberikan keredhaan oleh Allah. Saya nak ceritakan pengalaman semasa duduk di kuaters tentera.

Blok yang saya tinggal ada empat tingkat. Saya tinggal tingkat dua. Masa saya tingal penuh semua tingkat. Blok saya blok kedua dari sekolah rendah. Blok tersebut berada dalam kawasan kem juga. Cuma blok lama. Kami bercampur bangsa dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung. Seronok.

Masa kejadian tu, unit saya ada buat persiapan untuk lawatan orang-orang besar. Kami kena kerja sampai malam. Biasa askar kerja 24 jam kan. Sehari sebelum lawatan saya dan member telah bahagikan kerja. Saya berdua kena siapkan dewan. Sampai tak perasan kawan-kawan lain dah balik. Tinggal saya berdua je. Tengok jam dah masuk pukul dua pagi. Saya cakap dengan member pagi esok sambung.

Member saya dok bujang dia balik berjalan kaki je. Bilik dekat dengan dewan. Saya terpaksa keluar ikut jalan raya. Lepas tu masuk ikut pintu polis tentera untuk ke blok saya. Siap melalui klinik dan sekolah rendah baru sampai blok. Dari unit saya ke blok dalam lima kilometer tak jauh.

Apabila sampai saja kat bawah blok, untuk pengetahuan blok saya sebelah bawah untuk parking kenderaan dan stor. Setelah parking motor, saya rasa hati dan perasaan meremang. Tengok jam dah pukul tiga pagi. Bulan penuh malam tu kira-kira teranglah nampak keliling.

Saya pun baik tangga untuk ke rumah saya tingkat dua. Rumah sebelah tangga je. Saya perasan macam ada orang memerhati kat saya. Dalam hati dah berzikir. Saya toleh belakang dan kat bawah tak ada apa-apa.

Sesudah sampai je depan rumah saya, saya duduk kerana depan rumah saya ada sediakan kerusi untuk duduk lepak-lepak. Saya dengar suara isteri saya, “Abang ke tu?”. Saya jawab “Ya. Jangan buka pintu nanti abang buka & masuk sendiri..”.

Kerana masa tu saya perasan blok macam ada orang pemandang kat saya. Dalam hati “Siapa tu..dah pagi tak tidur-tidur..”. Saya pasang rokok sambil memandang ke blok depan untuk pastikan siapa yang dok tengok-tengok saya.

Apabila saya bangun dan pandang, apa yang saya nampak ada seorang perempuan tua berambut panjang tengah dok mencangkung atas tembok, sambil memandang saya. Dengan mata merah dan lidah terjelir panjang.

Saya apa lagi rokok tak habis hisap terus buang dan saya terus ke rumah. Badan rasa menggigil serta peluh jantan mula keluar sebab rasa takut. Saya masuk bilik air basuh kaki. Sebelum saya masuk bilik tidur, saya cuba-cuba intai-intai celah tingkap. Perempuan tu tak ada kat tempat tu.

Alhamdulillah dalam hati dah hilang. Mesti syaitan. Saya pun nak masuk ke bilik. Tengok isteri dan anak dah lena. Tak semena-mena ada orang ketuk tingkap ruang tamu rumah saya. Saya intai dari pintu, apa yang saya nampak orang tua tu dok ketuk tingkap.

Saya terus rebahkan badan tepi isteri. Sambil mulut baca tiga Qul dan Ayat Kursi sehingga saya tersedar apabila azan Subuh. Pagi tu saya terus ke unit untuk settle kan apa yang tak siap walaupun badan rasa panas sejuk, demam.

Pergi klinik dapat MC tiga hari rehat kat rumah. Saya ada tanya orang lama yang dok situ, dia kata memang ada saka orang lama tinggalkan.

Untuk para sahabat KCHM, saya minta maaf jikalau susun ayat tak betul dan cerita tak menyeramkan. Harap dimaafkan salah satu pengalaman yang sampai sekarang saya ingat.

Lakaran kat bawah ni lebih kurang macam tulah. Semoga sahabat diberikan kesihatan dan jaga SOP. Sekian..

Gambar: Asri Sparepart

Sumber: Asri Sparepart melalui Kelab Cerita Hantu Malaysia via siakapkeli.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*