Aliff Aziz tenang tak dihakimi dalam jemaah tabligh

Aliff Aziz tenang tak dihakimi dalam jemaah tabligh

Siapa sangka Aliff Aziz yang sering terpalit kontroversi kini mengakui selesa mengikuti jemaah tabligh kerana tiada daripada mereka yang menilai usahanya untuk melakukan penghijrahan.

Berharap agar dapat terus istiqomah, penyanyi dan pelakon berasal dari Singapura itu berkata, dia bersyukur kerana tidak menjangka pintu hatinya akan ‘terbuka’ selepas 30 tahun dirinya leka dengan hal duniawi.

“Sebenarnya saya yakin semua perkara berlaku hanya dengan kehendak Allah SWT. Saya tiada kelebihan, hanya hamba-Nya yang lemah nak guna kehidupan yang Allah bagi untuk ikut apa yang saya nak.

“Selama 30 tahun hidup, macam macam saya dah buat. Alhamdulillah, Allah maha mengetahui dan saya tak tahu apa kebaikan yang saya pernah buat namun Dia tunjuk jua jalan itu.

“Saya yakin semuanya dalam pengetahuan Allah. Bagi saya, suasana dan orang di sana (jemaah tabligh) tiada yang menilai, bagi mereka, semua sama tidak kira keturunan, pangkat dan darjat kerana di situ semua hanya hamba Allah belajar untuk dekatkan diri dengan-Nya,” katanya.

Alif, 30, berkata demikian pada sesi Nurflix Live Media Sosial dengan tajuk; Negara Sudah Merdeka, Kita Bila Lagi yang berlangsung di Facebook dan Instagram baru-baru ini.

Turut hadir, panel, Mohd Gunawan Che Abdul Aziz dan penerbit televisyen, Farihin Abdul Fatah. Sesi itu dikendalikan Anas Tahir.

Menurut pemilik nama penuh Mohamad Aliff Aziz itu, fasa perubahan kerohaniannya bermula selepas dia menonton video memaparkan pengacara dan penyampai radio

Faizal Ismail (FBI) yang menyertai aktiviti membabitkan jemaah tabligh dari Dakwah Tabligh Malaysia.

“Saya tengok video laporan dari abang Faizal Ismail dan saya rasa mahu kenal jemaah tabligh.

“Ada jemaah hubungi dan terangkan pada saya mereka nak bawa keluar untuk tiga hari. Saya dapat rasa pelbagai perasaan yang tak dapat saya gambarkan lepas tu,” katanya.

Tetap ada yang pandang serong

Sementara itu, mengulas kecaman di media sosial, Aliff berkata, sudah menjadi lumrah seseorang manusia tetap dipandang serong sekalipun mereka berusaha untuk berubah ke arah kebaikan.

“Saya fikir walau macam mana pun kita cuba jadi terbaik pasti akan ada orang yang tetap tak suka dan pandang serong.

“Tiada orang yang sempurna. Kalau kita rasa berada di landasan untuk jadi orang yang sempurna, itu memang mustahil.

“Justeru, saya cari hikmah, pasti ada orang yang berdoa untuk Alif. Saya beralih arah kepada yang itu. Selalunya macam mana jahat pun bila kita belajar jadi baik, pasti ada orang yang akan kata (kita) juga. Tapi yang penting biarlah Allah tahu siapa kita,” katanya.

Kata penyanyi lagu Sayang Sayang itu, sememangnya sukar untuk mengawal apa yang sentiasa berlaku di media sosial.

Menurutnya, dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Hanya boleh kawal awal-awal (dikecam) tetapi lepas beberapa waktu, saya fikir kenapa nak seksa diri saya untuk memuaskan hati semua orang.

“Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang. Yang penting diri kita sendiri, keluarga dan Allah tahu niat kita,” katanya.

Sebelum ini, nama Aliff kerap terpalit dengan pelbagai isu panas seperti curang, video lucah dan perbuatan mencuri.

Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 bersama pelakon Bella Astillah dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua orang anak, Muhammad Ayden Adrian, 3, dan Ara Adreanna yang kini berusia setahun.

Sumber: malaysiakini.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*