Segala Kejayaan Adalah Bermula Daripada Cita-Cita..

KEJAYAAN BERMULA DENGAN CITA-CITA

Cita-cita ialah sesuatu perkara yang kita mahukan sama ada perkara itu kita sangat mahukan atau sekadar mahu sahaja.

Setiap hari kita memenuhkan cita-cita kita. Cita-cita untuk makan, cita-cita untuk bangun pagi, cita-cita untuk bermain, berkawan bertemu rakan, berjalan-jalan, membeli-belah dan pelbagai lagi. Cuma kadangkala kita tidak mengkategorikan ia sebagai cita-cita, mengapa?

Ramai kita beranggapan cita-cita adalah sesuatu yang amat besar yang ingin dicapai dalam hidup sehingga mengenepikan keperluan untuk memenuhi beberapa cita-cita kecil sebelum sampai kepada cita-cita besar tersebut.

3 Sifat Bagi Meraih Kejayaan Di Dunia Dan Akhirat - Islam Itu Indah

Cita-cita adalah apa yang kita idamkan dan ia adalah kejayaan apabila dicapai tidak kiralah besar mana sekalipun. Bagi setiap individu, nilai kita berbeza. Bagi mereka yang menaiki basikal, memiliki motosikal itu adalah suatu cita-cita yang besar mungkin. Begitu pula bagi mereka yang memiliki kereta, memiliki sebuah bot laju adalah satu cita-cita yang besar baginya.

Selera dan keupayaan kita berbeza. Maka, pada setiap cita-cita itu ada nilai tersendiri dan kita perlu dihargai begitu juga pada cita-cita orang lain. Begitulah peranan ita-cita. Ini menjadikan cita-cita itu makna dalam kehidupan kita sebagai manusia.

Terdapat beberapa bentuk cita-cita yang boleh kita fikirkan bersama. Adakalanya, cita-cita yang sifatnya kita mahu, tetapi kita tidak berusaha pun untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, kemampuan bernafas, berjalan, melihat, makan, berasa kenyang dan sebagainya. Semua ini, kita mahu, tetapi dengan izin Nya tanpa ada sebarang usaha pun yang dilakukan melainkan pada waktu kita kanak-kanak dahulu.

Bertatih dahulu satu perjuangan yang amat ditagih oleh anak kecil dan sentiasa dibimbing dan diberikan perhatian oleh ibu dan ayah kita. Sokongan tidak berbelah bagi diberikan dan sentiasa dilihat perkembangannya. Namun hari ini, berjalan itu bukan lagi satu kejayaan melainkan buat mereka yang diberi pengalaman hilangnya nikmat berjalan. Oleh itu ramai yang lupa bahawa berjalan ini merupakan rantaian pencapaian cita-cita yang penting sebelum dapat mencapai yang lebih lagi selepas itu.

Lupa kita kepada segala bentuk cita-cita kecil ini akan menjadikan kita seorang yang sombong dan meninggi diri berjalan di atas muka bumi ini. Kita akan kerap merasakan bahawa kejayaan ini bermula dari usaha khusus kita yang tertentu. Sedangkan, memang jelas, bukan. Usaha yang dilakukan sewaktu kecil itu mungkin tidak ada nilai pada kita ketika jiwa dan pemikiran kita masih mentah dan belum berkembang sepenuhnya. Namun hari ini, rasa bersyukur itu sepatutnya dapat lahir bahkan kita akan manfaatkan pencapaian cita-cita kecil itu untuk cita-cita yang lebih besar.

Jiwa seorang kanak-kanak hanya mahu meneroka dan merasai pengalaman serta mahu berkembang sebagaimana orang lain. Cita-cita tulus ini sukar untuk kita ungkapkan hari ini kerana jiwa kita sudah dipenuhi kebencian, persaingan dan kemahuan hanya untuk kepentingan sendiri.

Seharusnya muhasabah itu berlaku pada kehidupan kita hari ini, sebagai insan yang ada upaya berfikir dengan lebih baik berbanding ketika anak kecil. Sedarlah bahawa apa yang kita miliki hari ini, banyaknya bermula dari kemahuan luhur anak kecil untuk melihat dunia yang berada dihadapannya.

Namun, tanpa kita sedari, yang dihidangkan dihadapan mereka adalah sesuatu yang terlalu objektif sehingga menutup kebarangkalian lain. Menjanjikan sesuatu yang tiada jaminan, menggambarkan sesuatu kegagalan sebagai sesuatu yang tidak akan berjaya.

Kita bertindak sebagai penentu bukan bergantung kepada usaha dan izin dari Tuhan. Adakah ini bermakna cita-cita itu gagal atau cita-cita itu berkesudahan?

Tiada istilah gagal dalam cita-cita. Cita-cita yang mesti diteruskan adalah untuk terus berusaha bukan berhenti apabila tidak memperolehnya. Cita-cita besar tidak akan terhenti hanya kerana satu cita-cita kecil tidak berjaya. Cita-cita besar akan tercapai apabila banyak cita-cita kecil yang kita penuhkan, kita capai dan kita usahakan.

Kita boleh perhatikan bagaimana cita-cita kita ini dirosakkan. Ia ditanam dengan kefahaman bahawa kebahagiaan, kesenangan serta pencapaian cemerlang dalam kehidupan itu terletak ada pemilikan rumah mewah, kereta besar, banyak A di dalam peperiksaan dan sebagainya. Sehinggakan kita mendatangkan rasa takut dan was-was untuk manusia itu berfikir akan cita-citanya. Mereka tidak mahu ada cita-cita hanya kerana cita-cita kononya hanya milik orang yang kehidupannya baik sahaja, tidak pada mereka yang pada segala seginya kekurangan belaka.

Usaha Tangga Kejayaan

Setiap langkah kejayaan adalah bermula dengan cita-cita. Bermula dari cita-cita kecil sehinggalah menjadi cita-cita yang besar. Janganah takut untuk meletakkan cita-cita itu dan demi Tuhan Yang Maha Mendengar, Dialah yang akan memakbulkan segala cita-cita kita jika sesuai dengan usaha dan kerja kita untuk mencapainya.

Terima Kasih Kerana Sudah Membaca..

Kredit: kamarulazami.blogspot

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*