TOLONG AMBIL SERIUS!!! JANGAN TUNJUK AIB PASANGAN DI MEDIA SOSIAL!

Ambil Serius! Jangan Tunjuk Aib Pasangan Di Media Sosial!

aib
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

CERAI, satu perkataan pendek tetapi maknanya mampu membuat jiwa seseorang menderita untuk satu tempoh yang lama.

Hari ini, perpisahan dalam kalangan pasangan suami isteri khususnya golongan muda seperti menjadi satu kebiasaan, malah hampir setiap hari ada sahaja yang berkongsi momen atau kisah cerai dalam media sosial.

Itu tidak termasuk pendedahan mengenai kisah cerai atau kecurangan pasangan masing-masing secara terbuka di dalam media sosial.

Tanpa sedar, kesemua perkongsian tersebut mengun­dang satu perasaan atau panda­ngan serong orang ramai terhadap sebuah institusi perkahwinan terutama bagi mereka yang masih bujang.

“Takutnya hendak berkahwin, risau dapat pasangan curang atau main kayu tiga.” Itulah antara kata-kata yang bermain difikiran orang bujang setiap kali melihat perkongsian tersebut.

Kisah orang bercerai pada hari ini boleh dikatakan menjadi satu kebiasaan berban­ding zaman dahulu yang mana perkongsian mereka yang tidak berjodoh panjang dilihat sebagai aib.

Memetik kenyataan Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, setiap pasangan seharusnya tidak berkongsi perkara-perkara yang memalukan bagi menjaga aib dan maruah keluarga serta pasangan walaupun mereka sudah berpisah.

aib
Gambar sekadar hiasan

“Perselisihan dalam rumah tangga pasti akan berlaku. Namun, setiap pasangan hendaklah menjaga hubungan baik sesama mereka. Rasulullah SAW mencela pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.”

“Bagaimanapun, sekiranya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, jika boleh diselesaikan secara baik, teruskanlah dengan jalan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, berkongsi terlalu banyak perkara buruk me­ngenai pasangan dalam media sosial terutama mengenai penceraian atau kecurangan bukanlah perkara yang baik.

“Jika masalah dalam rumah tangga tidak dapat diselesaikan secara baik, maka mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik dan pendedahan dalam media sosial bukanlah jalannya.

“Namun, sekiranya telah terbukti salah, selesaikanlah dengan pihak berautoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam. Jangan jadikan budaya setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan suami agar tidak menzalimi wanita yang sudah dinikahi kerana perkara tersebut semenangnya sangat ditentang oleh agama.

aib
Gambar sekadar hiasan

“Dalam urusan berumah tangga, para suami janganlah menzalimi isteri. Laksanakanlah tanggungjawab sebagai suami dengan penuh cermat dan jangan cemari ibadah perkahwinan dengan pengkhianatan dan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.

“Malah, akad para suami seumpama proses perpindahan tanggungjawab seorang ayah untuk menjaga seorang wanita.

“Seorang ayah sudah pasti tidak mahu menyakiti hati anak perempuannya, apatah lagi menzalimi mereka. Adakah kita suka anak perempuan kita dizalimi?” katanya lagi.

Tiada noktah bagi isu tersebut, namun curang atau perceraian adalah pilihan bagi setiap pasangan yang telah berkahwin.

Nasihat kepada si curang, janganlah disebabkan anda, institusi sebuah perkahwinan yang sepatutnya dipandang indah dan bahagia oleh masyarakat menjadi serong.

Sumber : Kosmo.com via realmerah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*