“Berfikir Di Luar Kotak,” Pemuda Bawa Generator Beri Perkhidmatan Cas “Phone” Percuma Untuk Mangsa Banjir 

“Berfikir Di Luar Kotak,” Pemuda Bawa Generator Beri Perkhidmatan Cas “Phone” Percuma Untuk Mangsa Banjir 

Bencana banjir yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini mungkin sudah surut, namun agihan bantuan dari pelbagai pihak masih lagi terus berjalan. Walaupun berlainan agama dan bangsa, masing-masing tidak lokek membantu mangsa banjir sejak hari pertama bencana itu berlaku.

Malah, ada orang awam yang berganding bahu mengerah tenaga membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang ‘diselimuti’ lumpur serta tidak kurang juga yang memasak makanan untuk diagihkan kepada mangsa. Mereka melakukan semua itu dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Bukan itu sahaja, banyak lagi jenis-jenis bantuan yang telah disalurkan untuk meringankan beban mangsa banjir tidak kira besar atau kecil nilainya.

Seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki berbangsa India ini yang berfikir di luar kotak dengan membawa generator untuk menyediakan perkhidmatan mengecas telefon bimbit secara percuma kepada mangsa banjir dan orang ramai yang berada di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Gambar Via Albert Chung

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik oleh pengguna Facebook, Albert Chung, lelaki itu membawa generator tersebut dengan menggunakan kenderaan 4×4.

“Nak membantu orang, ada banyak cara, hebat brother ini sebelah khemah kami,” katanya.

Dalam keadaan yang gawat, bantuan seperti itu sememangnya sangat berguna dan boleh membantu melancarkan urusan orang ramai.

Semoga usaha lelaki itu dan pihak-pihak lain yang memberi bantuan diganjari dengan kebaikan dan dipermudahkan segala urusannya kelak.

Sumber: Albert Chung via siakapkeli.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*