Panjat Jambatan Undang Padah, Lelaki Terperangkap Diselamatkan Bomba

BEAUFORT – Tindakan seorang lelaki memanjat jambatan besi di pekan, di sini, mengundang padah apabila dia terperangkap, selepas g@gal turun dari fasiliti berkenaan.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lagak berbahaya lelaki berusia 20 tahun berkenaan disedari orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum mereka bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.44 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati lelaki berkenaan yang lengkap berpakaian lengan panjang berwarna oren, bertopi serta memakai seluar jeans itu sedang duduk di atas besi pada ketinggian lebih 10 meter dari aras jalan raya,” katanya.

Tambahnya, JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort terpaksa menggunakan jentera dan tangga untuk membantu lelaki berkenaan.

“Lelaki itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada polis.

“Setakat ini, kami tidak mengetahui punca sebenar lelaki itu naik ke atas jambatan berkenaan,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya jam 10.55 pagi.

Sumber: getaran.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*