‘Kerana kerja kilang, pakcik itu dihina sampai sekarang’

Kuala Lumpur: Personaliti TV3, pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya, 40, meminta masyarakat agar tidak mudah menghina seseorang individu secara keterlaluan.

Dia yang juga bergelar penyampai radio Buletin FM turut menasihatkan penghina jangan angkuh dengan apa yang dimiliki kerana semuanya boleh hilang pada bila-bila masa.

“Saya mengendalikan segmen Ilham Sanubari, dari jam 9 hingga 12 tengah malam, setiap Isnin hingga Jumaat. Segmen Ilham Sanubari adalah berkenaan luahan jiwa. Biasanya ramai yang telefon menangis fasal cinta.

“Semalam topiknya ialah Nasihat Terluka. Jadi ada seorang pakcik telefon dalam nada sebak sampaikan tak keluar suara. Sudah hampir 30 tahun, dia masih menangis terluka. Kena hina, setakat kerja kilang, nak beli seluar dalam pun tak lepas. Saya pun sebak mendengarnya. Tajamnya kata-kata, berparut tetap berdarah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fedtri, menerusi segmen itu, ramai yang meluahkan perasaan, namun masalah pakcik terbabit berlainan sama sekali.

“Dia masih lagi biasa. Tapi dia masih terkesan kena hina. Dan dia belum ada rezeki seperti orang lain. Ternyata dia jelas kecewa dengan apa yang berlaku.

“Saya tak sempat bertanya lanjut sebab dia sebak dan talian terputus. Apabila saya tengok komen di Instagram dan Twitter berkenaan isu ini, ramai yang kecam penghina. Ramai juga yang sudah buktikan hidup okey dengan bekerja kilang. Janji halal dan rajin,” katanya.

Fedtri mengingatkan semua pihak agar berhati-hati apabila berkata-kata kerana ia akan diingat sampai mati.

“Ramai yang sebenarnya pendam banyak kisah duka. Sekurang-kurangnya kita bagi ruang untuk orang suarakan sesuatu. Saya akan wujudkan lebih banyak topik yang dekat dengan masyarakat,” katanya.

Sumber:hmetro.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*