“Sudah banyak kemalangan ngeri yang saya saksikan, tetapi mangsa Covid-19 paling sukar dilupakan ” – Bomba

“Sudah banyak kemalangan ngeri yang saya saksikan, tetapi mangsa Covid-19 paling sukar dilupakan ” – Bomba

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, Abu Hassan Ibrahim, 47 mendedahkan selama 25 tahun beliau menjadi anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia situasi pandemik Covid-19 paling menginsafkan apabila melihat sendiri pesakit sudah lima hari meninggal dunia dalam rumah dan tinggal bersendirian.

Katanya beliau bersama anggota barisan hadapan yang lain membantu mengambil mayat berkenaan dan melakukan sanitasi di kawasan perumahan mangsa.


Gambar hiasan

“Saya lihat sendiri keadaan mayat pesakit Covid-19 yang bukan mudah untuk diuruskan kerana perlu melalui pelbagai prosedur sebelum boleh dibawa keluar.

“Walaupun sebagai anggota bomba sudah banyak kemalangan ngeri yang saya saksikan, tetapi mangsa Covid-19 paling sukar dilupakan sehingga tiga hari saya teringat-ingat situasi itu,” katanya kepada pemberita selepas menjadi pemenang kempen 30 Hari 30 Frontliners.

Jelasnya, banyak cabaran ditempuhinya seperti perlu menyarung pakaian perlindungan diri yang panas ketika bertugas menguruskan pesakit Covid-19.

Namun, sebagai anggota penyelamat perkara itu sudah menjadi tanggungjawab membantu orang ramai supaya mereka dalam keadaan selamat terutama ketika musim Covid-19.

“Bagi saya, orang ramai perlu mengambil serius isu ini kerana virus itu benar dan melihat sendiri mangsa yang meninggal angkaranya di depan mata amat menginsafkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengambil vaksin kerana ketika ini hanya langkah itu yang dapat membantu melindungi diri daripada virus Covid-19.

“Sentiasa menjaga diri dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerana Covid-19 adalah realiti dan bukan mainan,” katanya.

Terdahulu menerusi kempen dianjurkan oleh Hot FM, Fly FM, Harian Metro dan Central Sugars Refinery (CSR), Abu Hassan membawa pulang hadiah bernilai RM500 dan barangan keperluan sebagai tanda terima kasih terhadap kerja keras, pengorbanan serta penat lelah sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.

 

Kredit : Suhaila Megat via themalayapost.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*